DALAM era teknologi yang semakin berkembang pesat, isu komunikasi di platform digital seperti WhatsApp, media sosial dan aplikasi lain semakin mendapat perhatian.
Lantaran itu, sebagai langkah mewujudkan persekitaran ekosistem digital yang lebih baik, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewujudkan akta berkaitan media sosial.
Bermula 1 Januari 2025, semua platform media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan Internet perlukan lesen untuk menjalankan operasi.
Sehingga hari ini, dua penyedia platform iaitu TikTok dan WeChat telah pun dilesenkan, manakala empat yang lain iaitu Telegram, Facebook, Instagram dan WhatsApp dalam proses mendapatkan lesen tersebut.
Tujuan utama pelaksanaan undang-undang ini tidak lain adalah untuk menangani peningkatan jenayah siber yang semakin meningkat di Malaysia.
Ia termasuk kes penipuan, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, dalam usaha memastikan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) ini mencapai matlamatnya, ia perlu kepada kerjasama semua pihak.
“Secara peribadi, saya melihat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memainkan peranan dalam mendidik generasi muda terutama anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah agar lebih terdedah dan cakna dalam perkara ini.
“KPM harus bersama-sama kerajaan dalam memastikan generasi muda memahami dan menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Dalam erti kata lain, KPM perlu terlibat sama untuk mendedahkan ilmu berkaitan digital ini di peringkat sekolah rendah. Contohnya, mengajar mereka cara penggunaan sesuatu aplikasi agar ia tidak disalah guna oleh mereka,” kata Siraj kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, generasi yang sedang menempuh alam persekolahan ketika ini terdiri daripada generasi Alpha di peringkat sekolah rendah dan generasi akhir Gen-Z di peringkat sekolah menengah.
“Tahun ini juga menandakan kelahiran Generasi Beta, yang bakal mengisi dunia digital dalam masa terdekat.
“Oleh itu, usaha mendidik dua generasi ini perlu dirancang dengan teliti dan perlu dimulakan seawal usia.
“Kita tidak mahu generasi muda mewarisi kecelaruan dalam berkomunikasi di platform digital seperti yang berlaku pada generasi sebelumnya,” tegas Siraj lagi.
Contohnya isu body shaming yang mana individu dihina secara fizikal dengan kata-kata menghina yang boleh menyebabkan gangguan psikologi kepada mangsa.
“Hakikatnya, amat penting pendidikan tentang empati dan adab dalam komunikasi digital diterapkan sejak daripada awal.
“Selain itu, pemahaman undang-undang juga perlu diajar agar anak-anak tahu perbezaan antara kesalahan jenayah seperti mencuri dan tindakan mengecam fizikal yang masing-masing mempunyai implikasi undang-undang berbeza,” ujarnya.
Apa yang pasti, Siraj melahirkan harapan supaya pendidikan tentang penggunaan platform digital ini perlu bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak seperti sekolah, ibu bapa dan masyarakat umum.
“Kerajaan harus memastikan ilmu ini disampaikan secara formal di sekolah melalui kurikulum yang relevan. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu meneruskan pendidikan tidak formal di rumah untuk melengkapkan kefahaman anak-anak.
“Usaha ini akan membantu generasi muda menguasai penggunaan teknologi digital secara bijak dan bertanggungjawab.
“Malah, pendekatan inklusif ini juga dapat memastikan kesinambungan antara pembelajaran di rumah, sekolah dan di mana-mana tempat lain sekali pun,” katanya lagi.
Kesimpulannya, bagi memastikan keberkesanan usaha ini, akta berkaitan penggunaan platform digital perlu diperjelaskan secara lebih meluas.
“Kerangka undang-undang yang kukuh bukan sahaja dapat mencegah salah guna platform digital, tetapi juga menjadi panduan dalam mendidik generasi muda tentang etika berkomunikasi yang lebih harmoni,” katanya menutup bicara.
Sumber : https://malaysiatribune.news/2025/01/06/kpm-perlu-main-peranan-didik-generasi-digital-negara/