Aduan

“Kita tidak lagi beratur di kaunter, tapi….”

Ketika ledakan internet bermula di negara ini lebih 10 tahun lalu, ramai yang tidak menjangkakan kehidupan akan berubah.

Dengan kepesatan teknologi yang pantas, norma hidup masyarakat juga sudah beralih kepada ‘cashless’ dan urusan atas talian mula mengambil tempat.

Memang hidup kita menjadi lebih mudah, dalam erti kata urusan harian, malah ada yang sudah berani mendakwa dalam kehidupan bersama Internet Of Things (IOT) ini, hanya nyawa yang tidak boleh dibeli di alam maya.

Satu aspek yang nyata, puluhan tahun dulu ketika kita semua beratur di kaunter untuk membayar segala bil, kita tidak perlu khuatir pun dengan keselamatan duit di dalam akaun.

Ada waktunya jika berbaki RM300 pun kita rasa banyak berbanding dengan zaman sekarang, ada yang lesap berbelas ribu tanpa disedari.

KIta hanya mengawal kata laluan untuk perbankan online saja, bukannya sistem itu, justeru dalam kita gembira dengan urusan di hujung jari, kita perlu tahu apa tindakan yang harus diambil bila berdepan masalah keselamatan siber ini.

Kebelakangan ini, setiap hari ada mangsa scammer dan sebagainya dan kita perlu sentiasa beringat supaya tidak menekan apa-apa pautan yang tidak diketahui asasnya.

Antara pantang yang perlu kita patuhi ialah jangan serahkan maklumat peribadi kepada pihak ketiga walau atas apa urusan sekali pun.

Amalkan untuk menghubungi bank bagi tujuan pengesahan setiap transaksi yang tidak biasa dilakukan bagi tujuan keselamatan.

Dalam dunia siber, semuanya mudah, semudah kita ditipu jika kita lalai.