Aduan

Ketirisan Data: Peranan Pengguna

Oleh Alpha Zulu Foxtrot a.k.a AZF

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di laman sosial dan pengguna berhubung kebocoran data daripada sebuah platform mesej popular.

  Berdasarkan laporan daripada cybernews.com menyatakan bahawa sejumlah 500 juta data pengguna dijual di sebuah forum penggodam dengan set data mengikut pengguna sesebuah negara.

  Portal itu juga menyatakan bahawa sejumlah 11.6 juta daripada data yang tertiris itu adalah pengguna daripada Malaysia.

  Data berkenaan dijual di sebuah forum penggodaman antarabangsa dengan nilai antara RM8,000 hingga RM30,000 bagi setiap set data.

  Set data berkenaan merangkumi pengguna di 84 buah negara termasuk di negara ini di samping pengguna di Amerika Syarikat (AS) berjumlah 32 juta serta beberapa negara lain.

  Data pengguna berkenaan selalunya digunakan untuk taktik pancingan data pengguna atau ‘Phishing’ supaya penggodam dapat lebih banyak maklumat pengguna.

  Biarpun ada pihak yang mempertikaikan keabsahan dakwaan berkenaan, namun AZF tidak melihat itu adalah isunya, sebaliknya ketirisan data pengguna yang perlu dijadikan fokus.

  Pihak berkenaan mendakwa bahawa itu adalah data pengguna sebuah laman sosial yang dikitar semula, namun perkara pokok yang perlu difahami adalah kebocoran data pengguna bukan perkara pelik ketika ini.

  Memetik Harian Metro (menerusi pautan https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/909675/kebocoran-data-whatsapp-pengguna-disaran-aktifkan-pengesahan-dua-faktor), pakar firma keselamatan siber iaitu Kaspersky, Victor Chebyshev menyatakan bahawa kepekaan pengguna sangat penting untuk mendepani ancaman siber.

  Kaspersky antara firma keselamatan yang terkedepan dalam menyuarakan isu kebocoran data ini dan tindakan berkenaan harus mendapat pujian.

  Susulan itu, Harian Metro (menerusi pautan https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/909891/periksa-sebelum-klik-pautan-mencurigakan?fbclid=IwAR3fQBD7QXIUPrtGNSmueAHSvpjkAC10A_wIDhsQcVdXiOTItX3uWx31RgE) menyiarkan advisori ataupun peringatan daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) berhubung langkah wajar untuk pengguna.

  Tindakan cepat CSM juga perlu mendapat pujian kerana perkara asas bukanlah keabsahan ketirisan data itu, sebaliknya perkara yang perlu dititikberatkan adalah amalan baik pengguna ketika berada di ruang siber.

  Kita berada dalam dunia ‘Data Mega’ yang membabitkan semuanya adalah data, jadi untuk mencegah kebocoran data itu agak mustahil sebaliknya apa yang wajar adalah langkah pengguna untuk mendepani ancaman berkenaan.

  Peranan pengguna sangat penting kerana mereka adalah pengguna barisan depan dan kepekaan pengguna memainkan peranan yang besar sama ada menjadi mangsa atau pengguna pintar.

Roger and Out!