Aduan

‘Cyberwarfare’ dalam agensi keselamatan wajar

Alpha Zulu Foxtrot aka AZF

Dalam artikel terdahulu AZF ada menyentuh aspek komunikasi digital yang mudah dikacau ganggu dan kebergantungan pengguna pada hari ini terhadap satu-satu platform.

  Kali ini, AZF ingin membawa perspektif baharu tentang keperluan untuk mewujudkan satu unit atau satu pasukan khas bagi mendepani ancaman siber dan pasukan atau unit ini perlu diletakkan di bawah ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

  Mungkin pada peringkat awal, idea ini agak janggal untuk diterima namun dunia pada hari ini adalah sangat terbuka dan ruang siber memainkan peranan yang besar.

  Ruang siber ini juga segala data boleh diperoleh dan mungkin juga mewujudkan satu bentuk ‘digital espionage’ ataupun pengintipan digital dilaksanakan untuk mengetahui atau mencuri data-data strategik sesebuah organisasi, negara dan sebagainya.

  Jika melihat kepada skop yang lebih luas, mungkin juga setiap agensi berautoriti atau pihak keselamatan memerlukan unit khas siber untuk mendepani ‘Cyber Warfare’ yang juga termasuk dalam salah satu juzuk peperangan moden pada hari ini.

  Malah, peperangan hari ini bukan saja membabitkan aset fizikal sebaliknya serangan melalui serangan siber juga adalah bentuk baharu yang boleh mengganggu sistem telekomunikasi, data dan penyampaian maklumat.

  Kesiapsiagaan dalam unit siber ini juga bukan sekadar untuk peperangan saja malah kita boleh mengetahui ‘mood’ atau ‘trend’ topik perbincangan rakyat pada masa kini khususnya dalam penerimaan sesuatu agenda politik.

  Setiap data yang diperoleh boleh diterjemahkan serta dianalisis sekali gus keputusan awal terhadap sesuatu dasar yang mungkin akan diperkenalkan oleh kerajaan boleh dijangkakan sekali gus pengurusan persepsi itu boleh dilakukan dengan lebih efektif.

  Siber ini bukan hanya untuk BBNU, tetapi ia adalah dunia baharu, dunia masa depan yang luas serta terbuka.