Aduan

Along curi data peribadi

Kuala Lumpur: Berbekalkan satu aplikasi, sindiket along kini mampu mencuri data diperlukan daripada telefon bimbit peminjam mereka.

Data seperti nombor telefon ahli keluarga, majikan, rakan sekerja serta gambar dan video mangsa menjadi sasaran sindiket berkenaan untuk peminjam itu dimalukan jika dia gagal atau terlewat membayar pinjaman.

Caranya, sindiket akan menyebar atau tularkan butiran pinjaman mangsa kepada ahli keluarga, kenalan, majikan dan jiran melalui WhatsApp.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Aduan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Raden Sallehuddin Raden Shamsuddin berkata, aplikasi itu kini menjadi ‘senjata’ baharu untuk menyedut data milik peminjam yang digunakan bagi mengugut mereka sekiranya gagal melunaskan bayaran.

“Sebelum ini proses pinjaman along menggunakan kaedah lama iaitu dengan mengisi borang dan butiran diperlukan.

“Kini along akan mengarahkan mereka yang membuat pinjaman dengan mengisi melalui aplikasi berkenaan dengan alasan lebih mudah.

“Tanpa pengguna sedari, segala data dan butiran peribadi mereka yang terdapat di dalam telefon pintar akan dicuri,” katanya dalam temubual khas bersama Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, MCCA menerima lebih 1,000 laporan berkaitan isu pinjaman melalui aplikasi pemberi pinjaman tidak berlesen ini melalui pelbagai platform aduan.

“Antara implikasi buruk siber terhadap pengguna melalui aplikasi ini adalah kecurian maklumat peribadi seperti senarai kenalan di dalam simpanan memori telefon pintar serta kecurian data peribadi lain seperti gambar dan video pengguna.

“Kami mendapati rata-rata pengguna menghadapi tekanan ugutan jenayah siber seperti buli siber dan tindakan untuk memalukan mangsa di tempat kerja serta kejiranan,” katanya yang memaklumkan pihaknya mengesan ratusan aplikasi berkaitan dengan aktiviti along.

Beliau berkata, kebanyakan aplikasi ini tidak memiliki lesen pengoperasian yang sah seperti diwartakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi.

Menurutnya, ia memberikan kesan buruk kepada pengguna yang berisiko terdedah dengan modus operandi along.

Bercerita lanjut, Raden Sallehuddin berkata, berdasarkan laporan diterima, aplikasi ini dibangunkan pembangun aplikasi dan ia digunakan untuk aktiviti salah daripada segi undang-undang.

“Di sini wujud kebocoran data peribadi juga. Jadi MCCA berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja aktiviti ceti haram, aplikasi seperti ini juga digunakan agensi pengiklanan untuk mencari pelanggan.

“Sebab itu pengguna siber perlu lebih berwaspada dengan dunia teknologi tanpa sempadan. Perlu ada silibus awal untuk mendidik pengguna di negara ini. Ia boleh dijadikan persiapan awal,” katanya.

Sumber.