Kuala Lumpur: Tawar khidmat seks, jual video lucah melalui media sosial. Itu trend terkini sindiket pelacuran yang dikesan aktif menawarkan aktiviti haram itu melalui kumpulan Telegram sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) selepas menerima aduan daripada ibu bapa yang bimbang dengan situasi berkenaan.
Presidennya, Siraj Jalil berkata, pihaknya dirujuk mengenai perkara itu selepas terlalu banyak pautan dikongsikan kumpulan tertentu yang mempromosi aktiviti seks termasuk gambar dan video.
“Sejak pandemik Covid-19, kita menerima banyak aduan mengenai kewujudan promosi lucah di Telegram. Dengan pelbagai pakej perkhidmatan dan harga, ia turut menyediakan pautan katalog untuk pelanggan.
“Yang menjadi masalah, semua pautan itu boleh diakses menerusi Telegram dan ia akan menyebabkan kanak-kanak terpengaruh dengan seks sebelum usia,” katanya.
Siraj berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa kumpulan Telegram yang diwujudkan namun ada beberapa yang sudah dipadam.
Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh singkat, sindiket pelacuran ini menubuhkan kumpulan baharu dan disertai hampir 1,000 pengguna.
“Kita dapati, ada juga tawaran untuk mendapatkan klip lucah dari Dark Web dengan harga tertentu. Dengan harga RM70, pelayar akan diberikan dua saluran dengan lebih 10,000 klip termasuk dikatakan dirakam oleh orang Melayu,” katanya.
Menurutnya, MCCA akan membawa isu berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ibu bapa atau penjaga disyorkan untuk membuat laporan kepada SKMM sekiranya mendapati wujud kandungan yang tidak sepatutnya.
“Apa yang penting, pengguna media sosial perlu berhemah ketika menggunakan gajet, tidak melayari web yang tidak patut.
“Pun begitu kita maklum mengenai ada yang mengambil kesempatan. Justeru saya nasihatkan ibu bapa atau mana-mana individu untuk membuat laporan kepada SKMM. Ia bagi membolehkan tindakan diambil segera,” katanya.