Aduan

218 jantan ‘ternoda’

Kuala Lumpur: Kebiasaannya wanita dikaitkan sebagai mangsa kes gangguan seksual. Namun keadaan kini berubah apabila lelaki turut tidak terkecuali daripada menjadi mangsa gangguan seksual termasuk melalui media sosial.

Mereka tidak hanya terdedah dengan gangguan daripada wanita, malah turut menjadi mangsa usikan golongan pondan serta lelaki homoseksual.

Presiden Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya menerima beberapa aduan serius membabitkan kes mangsa lelaki yang diganggu secara seksual.

Menurutnya, mangsa lelaki ini biasanya tidak hanya diganggu menggunakan perlakuan fizikal malah melalui isyarat tubuh selain kata-kata dihantar melalui media sosial.

“Selalunya kita dengar wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual, namun kini wujud kes membabitkan kaum lelaki.

“Dalam kes ini, ia membabitkan wanita atau transgender yang melakukan gangguan seksual terhadap lelaki yang disukai mereka. Pada mulanya, mereka mungkin hanya mahu mengurat sebelum perbualan semakin berkembang hingga menyentuh soal seksual.

“Apa yang menjadikan perbualan itu sebagai gangguan apabila mangsa yang menerima mesej, video mahupun panggilan daripada ‘si pelaku’ di media sosial itu merasa terganggu dengan layanan berkenaan yang turut menyentuh mengenai isu seks.

“Bagaimanapun, ramai mangsa lelaki yang berdepan gangguan seksual di media sosial tidak tampil membuat laporan polis memandangkan mereka rasa malu selain berasakan perkara itu remeh kerana apa yang berlaku (gangguan) tidak membabitkan fizikal secara langsung,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan lelaki yang menjadi mangsa gangguan golongan transgender atau homoseks ini mendakwa menerima mesej kononnya mahu berkenalan pada peringkat awal.

“Namun perbualan itu menjurus kepada unsur seksual seperti menyentuh soal bentuk badan serta kemaluan,” katanya.

SIRAJ Jalil. FOTO Fathil Asri

Siraj berkata, selain gangguan seksual yang diterima di media sosial daripada wanita terhadap lelaki serta lelaki terhadap lelaki, wujud juga gangguan membabitkan wanita terhadap wanita.

“Dalam kes ini, ia membabitkan golongan tomboi atau pengkid yang melakukan gangguan seksual terhadap wanita yang disukai mereka,” katanya.

Beliau berkata, ada juga mangsa gangguan seksual membabitkan kanak-kanak sama ada lelaki mahupun wanita yang mempunyai akaun media sosial.

“Apabila kanak-kanak memuat naik gambar atau video mereka di media sosial, ia akan menarik perhatian penjenayah pedofilia yang cuba mencari jalan berhubung dengan mangsa terutama dengan menggunakan profil akaun palsu.

“Mangsa yang teruja dengan perkenalan ‘rakan baharu’ lebih mudah untuk terpedaya sehingga berasakan gurauan seksual oleh pemangsa itu sekadar usikan manja semata-mata,” katanya.

Menurutnya, sebagai mangsa, individu terbabit perlu menceritakan perkara itu kepada orang lain iaitu ahli keluarga atau rakan selain membuat laporan polis untuk memastikan ada tindakan lanjut diambil.

“Selain itu, orang ramai dinasihati tidak memuat naik gambar atau video yang mengundang perhatian pihak lain untuk melakukan gangguan seksual secara siber,” katanya.

Kecuaian mangsa sendiri

Walaupun dianggap kes terpencil namun hakikatnya lelaki turut terdedah dengan jenayah gangguan seksual sama seperti wanita.

Namun siasatan polis mendapati kes gangguan seksual secara fizikal atau siber sebahagiannya turut berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri yang memuat naik gambar atau video di media sosial yang mengundang individu yang mempunyai kepentingan mengeksploitasi mangsa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, terdapat beberapa elemen yang menjurus kepada perbuatan itu termasuk sikap pelaku itu sendiri.

“Tidak dapat dinafikan penyumbang kepada isu ini bukan sahaja daripada satu pihak, tetapi pihak lain iaitu mangsa itu sendiri apabila membuat pendedahan keterlaluan termasuk berpakaian mencolok mata di media sosial,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

SITI Kamsiah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

632 suspek dikenal pasti sejak 2017 hingga September lalu

Isu jenayah gangguan seksual secara siber tidak lagi tertumpu pada wanita apabila sebanyak 218 kes dilaporkan turut membabitkan mangsa lelaki.

Difahamkan mangsa lelaki ini turut terdedah kepada jenayah dan perbuatan amang seksual bukan fizikal, pornografi dan pengantunan kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, seramai 632 individu dikenal pasti sebagai suspek sepanjang tempoh 2017 hingga September lalu. dengan 627 individu terbabit adalah lelaki, manakala lima lagi suspek adalah wanita.

“Daripada 632 suspek terbabit, 435 suspek adalah individu dikenali mangsa, 34 lagi suspek membabitkan ahli keluarga, manakala 163 suspek lagi tidak dikenali mangsa.

“Bagi 670 kes jenayah seksual membabitkan siber, 436 daripadanya berlaku di rumah, manakala selebihnya (234 kes) membabitkan tempat awam,” katanya.

Siti Kamsiah mengakui, berdasarkan statistik itu, jumlah kes gangguan seksual secara siber dilaporkan kepada pihak polis menunjukkan tren peningkatan sejak tahun lalu.

Beliau berkata, 2,161 kes gangguan seksual membabitkan lima kesalahan iaitu mengaibkan, memiliki bahan lucah, pornografi kanak-kanak, berkomunikasi seksual dengan kanak-kanak serta pengantunan kanak-kanak dilaporkan kepada polis sejak 2017.

“Daripada 2,161 kes dilaporkan, 670 kes membabitkan gangguan seksual secara siber sepanjang tempoh berkenaan.

“Terdapat peningkatan ketara bagi jumlah kes dilaporkan pada tahun lalu apabila merekodkan 556 kes dengan 269 kes adalah berkaitan siber berbanding 391 kes (58 kes siber) pada 2019.

“Jumlah itu mungkin meningkat apabila 533 kes gangguan seksual dilaporkan dengan 260 daripadanya membabitkan siber bagi tempoh Januari hingga September lalu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

Siti Kamsiah berkata, seramai 686 mangsa direkodkan sepanjang tempoh berkenaan dengan 309 mangsa terbabit adalah terdiri daripada golongan berusia bawah 18 tahun.

“Berdasarkan statistik bagi tempoh berkenaan, seramai 468 mangsa terdiri daripada wanita meliputi kesalahan mengaibkan, sebar bahan lucah, amang seksual bukan fizikal, pornografi kanak-kanak dan pengantunan kanak-kanak manakala 218 mangsa lagi adalah lelaki,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat pendedahan keterlaluan mengenai minat dan kecenderungan serta maklumat diri di dunia siber terutama di media sosial.

Sumber.