Aduan

PRU15: Peluang perbaiki ruang lingkup siber negara

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pun melabuhkan tirainya dan siapa yang menjawat jawatan nombor satu negara sudah pun diketahui.

Menjadi harapan pengguna internet di Malaysia, kerajaan baharu ini akan merealisasikan penubuhan suatu akta yang khusus untuk keselamatan siber negara.

Harapan kita tinggi, untuk melihat semua isu berkaitan keselamatan siber, keldai akaun, pelbagai jenis scammer dapat dibendung sebaik mungkin kerana ia sudah lama menyusahan hidup kita semua.

Di sebalik kemudahan kerana teknologi yang semakin canggih, kita masih lagi ragu-ragu sejauh mana data, duit dan maklumat kita yang dikongsikan sama ada menggunakan data berbayar atau terbuka, selamat.

Di sinilah kita mengharapkan agar Suruhanjaya Komuniksi dan Multimedia (SKMM) yang diberi hak yang sewajarnya untuk mempunyai akta berkaitan siber secara menyeluruh.

Biarlah PDRM dengan kuasa tangkapan yang ada, tetapi beban kesalahan perlu membabitkan bidang komunikasi sebagai tauke atau tuan kedai bagi segmen multimedia di Malaysia ini.

Kepada kerajaan, inilah masanya bagi permulaan masa depan yang lebih gemilang, kita semua mahu melihat perubahan yang lebih signifikan selain daripada bekerjasama dengan universiti tempatan untuk mencari jalan memperkenalkan akta yang sepatutnya sudah ada seiring perkembangan zaman.