Aduan

Program Literasi ICT Warga Emas: Melangkah ke Era Digital dengan Bijak

Pada 15 Disember 2024, Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Selangor (MKPMS) telah menganjurkan Program Literasi ICT Warga Emas di Kota Damansara. Program ini bertujuan untuk memperkasakan golongan warga emas dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam teknologi maklumat serta meningkatkan kesedaran tentang keselamatan siber.

Acara ini turut mendapat sokongan penuh daripada komuniti setempat, termasuk peserta dari Kota Damansara, Kampung Melayu Subang, dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Paya Jaras. Sambutan hangat yang diberikan menunjukkan semangat warga emas dalam mendalami ilmu ICT, sekaligus membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus belajar.

Salah satu segmen yang paling dinanti-nantikan ialah sesi ceramah oleh SAC (B) Dato’ Ahmad Noordin Ismail, Pengerusi Malaysia Cyber Consumer Association (MCCA). Dalam ceramahnya, Dato’ Ahmad Nordin berkongsi pandangan bernas tentang cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber. Pendedahan tersebut amat relevan, memandangkan golongan warga emas sering menjadi sasaran penipuan siber seperti scam panggilan telefon dan pencurian data peribadi.

Selain itu, taklimat yang disampaikan oleh wakil NADI Kluster Petaling & Gombak turut memberi panduan praktikal kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan ICT dalam kehidupan seharian mereka. Aktiviti interaktif seperti simulasi keselamatan siber dan tutorial penggunaan aplikasi mudah alih menjadikan program ini bukan sahaja informatif, malah menyeronokkan.

Program ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam membina komuniti yang celik teknologi dan lebih berdaya saing. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Yayasan Wardatul Jannah, MKPMS, NADI, dan semua peserta yang menjayakan program ini. Kejayaan program ini menjadi bukti bahawa kerjasama strategik mampu mencetuskan perubahan positif dalam masyarakat.

MCCA juga akan terus komited untuk menyokong inisiatif seperti ini dalam usaha meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia. Tahniah kepada semua yang terlibat!