Aduan

Presiden MCCA Sertai Panel Perbincangan Keselamatan Siber di FinXtex Malaysia 2025

Kuala Lumpur, 14 Julai 2025 – Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), En. Siraj Jalil, telah dijemput sebagai salah seorang panelis utama dalam sesi perbincangan bertajuk “Mitigating Threats in the Digital Fintech Landscape” sempena FinXtex Malaysia 2025 yang berlangsung di Hotel Pullman Kuala Lumpur.

Acara berprestij ini, yang dianjurkan oleh BII Global dengan sokongan rasmi Fintech Association of Malaysia (FAOM), menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka industri fintech, termasuk pemimpin perbankan, pengawal selia, dan inovator teknologi kewangan bagi membincangkan hala tuju masa depan sektor kewangan digital negara.

Dalam sesi panel yang dipengerusikan oleh Dr. Ziyaad Mahomed (INCEIF University), En. Siraj Jalil berkongsi pandangan mendalam mengenai strategi keselamatan siber, pengurusan risiko digital, dan pembinaan daya tahan siber khususnya untuk industri fintech yang semakin terdedah kepada ancaman siber. Perbincangan turut menekankan aspek penting seperti:

  • Mitigasi risiko dalam sistem pembayaran masa nyata.
  • Strategi daya tahan siber berdepan ancaman yang berkembang.
  • Model penarafan risiko menggunakan analisis data besar.
  • Cabaran pematuhan rentas sempadan dalam operasi fintech global.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh yang merangkumi teknologi, proses, dan kesedaran pengguna adalah kunci dalam melindungi infrastruktur digital yang kritikal.

Turut serta dalam panel ini ialah Laurence Ong (MBSB Bank Berhad), Harmeet Singh Sethi (CEO PayG), dan Grace Nathan (Grace S Nathan Advocates & Solicitors). Kehadiran En. Siraj Jalil mewakili MCCA sekali lagi membuktikan peranan aktif persatuan ini dalam memperjuangkan keselamatan siber dan literasi digital di Malaysia, selaras dengan misi untuk melindungi kepentingan pengguna siber di era pendigitalan.