Aduan

Persidangan Meja Bulat : Maksiat Siber

IPSAS 10 Oktober 2024 – Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dan Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga, telah menganjurkan Sidang Meja Bulat bertajuk ‘Maksiat Siber’. Sesi ini bertujuan untuk membincangkan konsep maksiat siber dari perspektif pelbagai pemegang taruh serta mencari solusi yang konstruktif bagi menangani isu tersebut.

Antara organisasi yang turut terlibat dalam perbincangan ini termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (JSJK IPK Selangor), ASTRO (Radio Zayyan), pakar keselamatan siber dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Nazri Yahya & Co, serta Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga.

Sidang meja bulat ini dimoderatorkan oleh Dr. Jufitri Joha, dengan dua pembentangan utama:

  1. Tuan Ahmad Husaini Mustafa, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwah Syariah JAKIM, yang berkongsi mengenai aspek maksiat siber dalam konteks syariah dan bagaimana peranan JAKIM dapat membantu menangani isu ini.
  2. En. Wan Syahrul Amry bin Wan Mansor, Pengurus Radio Zayyan, yang membincangkan peranan media dalam mempengaruhi kesedaran awam tentang bahaya maksiat siber dan cara terbaik untuk menyampaikan mesej yang positif kepada masyarakat, terutama generasi muda.

Sidang meja bulat ini diakhiri dengan rumusan dan penutup oleh En. Siraj Jalil, Presiden MCCA. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya kerjasama semua pihak dalam menangani isu maksiat siber yang semakin meruncing. Beliau juga menyarankan agar langkah-langkah pencegahan dan pendidikan diteruskan melalui pelbagai platform digital bagi melindungi pengguna, khususnya golongan muda, daripada terjerumus dalam maksiat siber.

MCCA komited untuk terus menjadi penggerak dalam memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai cabaran dan ancaman dunia siber, serta berusaha menguatkuasakan undang-undang dan nilai moral yang baik di alam maya.

#MCCAMalaysia #MaksiatSiber #KeselamatanSiber #DigitalEthics