Shah Alam, 21 Ogos 2024 – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) telah mengadakan satu perjumpaan yang bersejarah dengan pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (MASSCOMM). Perjumpaan tersebut bertujuan untuk membincangkan kerjasama dalam melaksanakan program “LitDigital”, satu inisiatif literasi digital yang dirancang untuk memperkukuhkan kefahaman serta kemahiran digital dalam kalangan warga universiti.
Program “LitDigital” yang diusulkan oleh MCCA disambut baik oleh Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Profesor Madya Dr. Abd. Rasid Bin Abd. Rahman. Dalam perbincangan tersebut, beliau menyatakan komitmen fakulti untuk menyokong penuh kempen literasi digital ini serta menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam inisiatif sukarelawan siber yang bakal diperkenalkan di peringkat UiTM.
Delegasi MCCA yang hadir dalam perjumpaan tersebut terdiri daripada SAC(B) Dato’ Ahmad Noordin Bin Ismail, Pengerusi MCCA; Siraj Jalil, Presiden MCCA; Ts Azrul Zafri Bin Azmi, Timbalan Presiden MCCA; Shafizan dan Asrul Afandi, Ahli Jawatankuasa MCCA. Kesemua mereka memainkan peranan penting dalam perbincangan tersebut dan menyampaikan pandangan serta cadangan yang relevan untuk menjayakan program ini.
Program “LitDigital” dijangka akan menjadi platform utama dalam mendidik dan memupuk kesedaran mengenai literasi digital di kalangan pelajar dan kakitangan UiTM. Selain itu, inisiatif sukarelawan siber yang dirancang turut memberikan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran digital mereka, di samping menyumbang kepada masyarakat siber yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Dengan kerjasama erat antara MCCA dan UiTM Shah Alam, program “LitDigital” ini diharapkan dapat menjadi model kepada universiti-universiti lain dalam memperkukuhkan literasi digital di Malaysia. MCCA komited untuk terus menjalankan usaha-usaha yang membawa manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam era digital yang semakin mencabar ini.
#MCCA #LiterasiDigital #UiTM #LitDigital #SukarelawanSiber