Aduan

Pemerkasaan Literasi Siber

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Dalam sesi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM pagi ini, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkongsi pandangan mengenai “Pemerkasaan Literasi Siber”. Beliau menekankan pentingnya adab serta “rukun” dalam penggunaan siber untuk membina masyarakat digital yang bertanggungjawab dan beretika.

Menurut Siraj, literasi siber bukan hanya melibatkan kemahiran teknikal tetapi juga nilai moral dan etika dalam penggunaan ruang digital.

“Dalam dunia siber, kita perlukan panduan jelas seperti adab dan ‘rukun’ yang boleh membantu pengguna menjadi lebih berhemah. Ini termasuk menghormati privasi, tidak menyebarkan maklumat palsu, serta mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam setiap interaksi atas talian,” ujarnya.

Siraj juga menyeru semua pengguna agar lebih peka terhadap ancaman siber yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu dan masyarakat. Beliau menekankan bahawa usaha membina literasi siber yang kukuh memerlukan sokongan daripada semua pihak, termasuk kerajaan, institusi pendidikan, dan komuniti.

Program yang bertemakan “Pemerkasaan Literasi Siber” ini diharapkan dapat membuka mata masyarakat tentang peranan setiap individu dalam memastikan ruang digital kekal selamat dan beretika. Dengan penerapan nilai-nilai adab dan “rukun” dalam penggunaan siber, Malaysia mampu menuju ke arah persekitaran digital yang lebih harmoni.

MCCA menyokong penuh inisiatif ini dan akan terus memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran serta literasi siber dalam kalangan pengguna.