Aduan

“Pasaran telefon pintar Malaysia turun 28.8 peratus” – IDC

Penghantaran telefon pintar ke Malaysia merosot 21.7 peratus suku ke suku (QoQ) pada suku pertama 2022 (1Q22).

Data itu didedahkan oleh firma International Data Corporation (IDC) daripada laporan ‘Penjejak Telefon Mudah Alih Suku Tahunan Seluruh Dunia’ yang memperlihatkan trend berkenaan.

Penurunan dalam penghantaran telefon pintar adalah disebabkan oleh cabaran bekalan untuk model 4G kelas rendah, terutamanya vendor daripada China yang memberi kesan kepada jumlah dan peruntukan.   

Selain itu, kos sara hidup yang kian meningkat di Malaysia sejak awal tahun ini dilihat sebagai salah satu faktor penurunan berkenaan kerana berlakunya pengecilan kuasa beli secara penyeluruh oleh pengguna tempatan.

Untuk rekod, pengeluar seperti Samsung merekodkan penghantaran peranti berjumlah 784,600 pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 830,300 unit.

Ia memperlihatkan penurunan 5.5 peratus untuk penghantaran peranti pintar oleh Samsung dan pengeluar yang paling terkesan adalah Vivo apabila mencatatkan penurunan 57.4 peratus untuk tempoh berkenaan.

Penganalisis Pasaran Peranti Mudah Alih IDC Malaysia, Ahmed M Ahmed berkata, buat pertama kali dalam tempoh dua tahun, rakyat Malaysia dapat menyambut Ramadan dan Hari Raya tanpa sekatan COVID-19. 

“Penduduk tempatan membelanjakan lebih banyak untuk pakaian, lawatan rumah terbuka, perjalanan domestik dan aktiviti riadah bermusim yang lain. 

“Kita melihat bahawa pengguna di Malaysia mengurangkan pembelian mereka untuk telefon pintar dan memberi fokus kepada pembelian keperluan lain serta menunggu tawaran yang mesra pelanggan untuk model peranti mampu milik,” katanya.

IDC mengunjurkan penurunan sebanyak 5 peratus untuk pasaran telefon pintar Malaysia pada 2022. 

Kekangan bekalan untuk model rendah 4G Android akan menjadikan satu cabaran bagi kebanyakan vendor untuk memenuhi permintaan. 

Peranti Pintar Paling Popular

  1. Samsung 

Pengeluar peranti pintar ini masih mengekalkan kedudukan walaupun merekodkan kemerosotan dalam penghantaran peranti pintar untuk suku pertama tahun ini. Samsung adalah peneraju untuk ruang peranti 4G dengan penguasaan perkongsian pasaran 38 peratus.

  1. Xiaomi

Peranti keluaran syarikat ini adalah satu-satunya pengeluar ‘Top 5’ yang mencatat pertumbuhan QoQ dengan rekod sedikit peningkatan sebanyak 5 peratus pada 1Q22. Xiaomi menghadapi beberapa masalah bekalan pada bulan Mac menjelang April dan jenama itu tidak menghantar sebarang model dalam sub segmen di bawah nilai RM400.

  1. OPPO

Pengeluar ini berada di tempat ketiga walaupun merosot kedua-dua YoY dan QoQ. Penghantaran model 4G untuk siri OPPO A terjejas akibat isu bekalan. Pada masa yang sama, OPPO menawarkan potongan harga dan himpunan untuk menambah baik jualan perlahan bagi peranti pertengahan.