Aduan

Netizen jangan jadi hakim

Digelar Bawang Rangers, Tentera Siber dan pelbagai lagi, meletakkan netizen Malaysia pada satu tahap yang tinggi.

Sejak kira-kira 20 tahun lalu, ketika internet mula mengambil tempat, ramai dalam kalangan kita mula membiasakan diri dengan membuat carian pelbagai isu semasa.

Semuanya seolah-olah tiba-tiba menjadi pandai, cerdik, berilmu pengetahuan dan berpendidikan sehingga rancak bercakap perkara di luar bidang atau kemahiran sendiri.

Tanpa kita sedar, ketika Facebook yang kini mempunyai lebih 29 juta pengguna di negara ini mengambil tempat, ramai yang masih terbawa-bawa dengan sikap membawang sehingga lupa bahawa negara ada undang-undang dan manusia ada Allah SWT.

Lalu ramai dari kita rancak menulis komen, membalas komen setiap isu termasuk menghina agama, perkauman serta hantaran berunsur ilmiah sekalipun.

Kita hanya membaca tajuk berita ‘seorang lelaki direman bagi membantu siasatan ……’ tetapi ramai yang sudah membuat kesimpulan dan memberikan hukuman terus kepada individu itu walaupun pendakwaan masih belum bermula. Jauh lagi keputusan kes didengar di mahkamah.

MCCA ingin mengajak semua untuk menggunakan kemudahan dunia siber untuk menjadi pengguna lebih bertanggungjawab, setidak-tidaknya kepada setiap komen yang dibuat.

Bayangkan jika semua komen yang kita buat, pada setiap hari menjadi satu fitnah, siapa yang akan tanggung semua itu. Kesannya cukup besar walaupun ia hanya semudah menggerakkan jari di hujung jari saja.

Sepatutnya kita hanya komen perkara yang perlu seperti mengajak netizen lain bersabar, jangan menghukum terlalu awal, tidak melakukan provokasi, tidak mencela, tidak mengkeji kerana kita pun tidak tahu nasib kita bagaimana nanti.

Atau kita sudah terlalu yakin, kita terlepas dari segala kemungkinan untuk turut melakukan kesalahan?

Fikir-fikirkanlah…