Pada 27 Ogos 2024, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat (RTD) Siri 2/2024 bertajuk “Keselamatan Digital: Enigma Anak Muda”, bertempat di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Program ini mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran seramai 120 orang peserta secara fizikal.
Persidangan ini telah dirasmikan oleh Encik Muhammad Khairil Khalid, Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES, dan turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting dalam bidang keselamatan digital dan pembangunan belia. Antara acara utama adalah forum bertajuk “Media Sosial: Ancaman atau Pelindung Belia Millenium” yang dikendalikan oleh Dr. Zulisman Maksom, Pensyarah Kanan dari Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi Universiti Teknikal Melaka (UTeM) sebagai moderator.
Forum tersebut menampilkan tiga orang panelis berpengaruh, iaitu Dr. Noor Nirwandy Mat Nordin, Felo Operasi Psikologi, Pusat Kajian Perang Saraf Media & Informasi UiTM, Puan Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Communications & Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), dan En. Mohamad Sirajuddin Jalil, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA).
Dalam perbincangan forum, beberapa soalan penting telah diajukan kepada En. Sirajuddin Jalil berkaitan dengan cabaran keselamatan digital yang dihadapi oleh golongan muda. Antaranya termasuklah:
- Punca Pengaruh Media Sosial Terhadap Salah Laku Anak Muda
En. Siraj menegaskan bahawa punca utama mengapa anak muda mudah terdorong dengan salah laku di media sosial adalah disebabkan oleh keinginan untuk diterima dalam kelompok sosial serta kekurangan kesedaran mengenai akibat buruk yang mungkin timbul daripada tindakan tersebut. - Ancaman Pempengaruh (Influencer) Terhadap Perpaduan Anak Muda
Beliau juga menekankan bahawa pempengaruh media sosial, baik dari dalam mahupun luar negara, berpotensi membahayakan perpaduan dan kesejahteraan anak muda sekiranya mereka menyebarkan ideologi atau budaya yang tidak sesuai dengan nilai-nilai tempatan. - Peranan Media Sosial dalam Pembentukan Sahsiah Anak Muda
Selain itu, En. Siraj menekankan pentingnya media sosial dalam membentuk sahsiah anak muda masa kini, di mana platform ini boleh menjadi medium yang berkesan untuk mempromosikan nilai-nilai positif sekiranya digunakan dengan bijak.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Dr. Vellapandian Ponnusamy, Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, yang turut membentangkan rumusan keseluruhan program serta penekanan terhadap tindakan yang perlu diambil untuk memperkukuhkan keselamatan digital dalam kalangan belia.
Dengan penganjuran program sebegini, diharap kesedaran dan pengetahuan belia mengenai keselamatan digital akan terus dipertingkatkan, sekaligus melahirkan generasi muda yang lebih bijak dan berdaya saing dalam era digital yang penuh dengan cabaran.