Pada 21 April yang lalu, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dengan kerjasama strategik bersama Yayasan Negeri Sembilan dan Majlis Guru Kaunseling Negeri Sembilan (MGKK) telah menjayakan satu sesi Program Literasi Digital (LitDigital) di Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri, Seremban.
Program ini dirancang khas bagi memperkasa pemahaman dan kesedaran murid sekolah rendah terhadap keselamatan siber, penggunaan teknologi secara beretika, serta peranan mereka sebagai warga digital yang bertanggungjawab.

Kandungan Menarik dan Interaktif
Program dimulakan dengan sesi pengenalan tentang konsep literasi digital yang disampaikan secara santai dan mesra kanak-kanak oleh fasilitator MCCA, En. Rahmat Al-Aziz. Sepanjang program, pelbagai aktiviti interaktif dijalankan.
Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya menyampaikan mesej penting mengenai keselamatan dan tingkah laku berhemah dalam talian dengan pendekatan yang sesuai untuk murid Tahun 3 hingga Tahun 6.

Sesi Demonstrasi Live: Phishing Call
Antara momen yang paling mencuri tumpuan dalam program ini ialah sesi demonstrasi langsung (live) berkaitan panggilan penipuan atau “phishing call”. Dalam sesi ini, fasilitator MCCA memperagakan satu simulasi panggilan palsu di hadapan para murid, memperlihatkan bagaimana penipu biasanya memancing maklumat peribadi seperti nombor OTP, kata laluan, atau butiran akaun.
Melalui simulasi ini, murid-murid diberikan peluang untuk menilai dan membezakan antara panggilan sah dan panggilan mencurigakan, serta diajar cara memberi respon yang selamat. Aktiviti ini telah berjaya menarik perhatian dan membuka minda murid tentang risiko sebenar di alam digital — walaupun mereka masih di peringkat sekolah rendah.

Sumbangan Buku daripada NACSA
Sebagai tanda sokongan terhadap pendidikan keselamatan digital, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) turut mengadakan sesi serahan rasmi dua buah buku kepada pihak sekolah, iaitu:
- “10 Langkah Mudah Kesedaran Keselamatan Siber”
- “Buku Panduan Keibubapaan Siber”
Buku-buku ini dijadikan bahan rujukan untuk guru, murid dan ibu bapa dalam usaha membentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan terkawal di rumah dan sekolah.

Sambutan & Sokongan Komuniti Sekolah
Program ini disertai oleh semua murid Tahun 3 hingga Tahun 6, bersama guru-guru pengiring serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sambutan yang diberikan amat memberangsangkan dan pihak sekolah turut memberikan maklum balas positif terhadap pendekatan interaktif yang digunakan oleh MCCA.
Penghargaan
MCCA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, khususnya:
- Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS)
- Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)
- Yayasan Negeri Sembilan
- Majlis Guru Kaunseling Negeri Sembilan (MGKNS)
- Warga Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri
- PIBG SK Taman Warisan Puteri
Semoga usaha ini menjadi langkah berterusan dalam membina generasi muda yang lebih peka, bijak dan bertanggungjawab dalam dunia digital yang mencabar ini.



