Aduan

Malaysia di trajektori tepat jadi pusat teknologi serantau – MCCA


KUALA LUMPUR:
Kedudukan strategik Malaysia meletakkannya pada trajektori tepat sebagai pusat teknologi di Asia Tenggara lantaran perkembangan pesat hab pusat data dan pengkomputeran awan sejak kebelakangan ini.

Ia selepas sektor teknologi digital menerima pelaburan diluluskan sebanyak RM163.6 bilion, mengatasi nilai pelaburan digital diluluskan pada 2023 sebanyak 250 peratus.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Azrul Zafri Azmi berkata, ekosistem sedia ada yang kukuh membolehkan sasaran sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 25.5 peratus atau RM382 bilion pada 2025.

Menurut beliau, antara cabang teknologi digital yang wajar diberi penekanan adalah pembangunan syarikat pemula teknologi, di mana ia dilihat menjadi persaingan sengit di rantau ini.

“Kita harus sokong pertumbuhan syarikat-syarikat pemula teknologi (tech startup) di Malaysia supaya kita dapat menarik lebih banyak syarikat modal teroka (VC).

“Melalui ini, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mempercepatkan lagi adaptasi teknologi di negara ini.

“Kalau kita lihat di Asia Tenggara ketika ini, di kalangan VC dan juga pelabur dalam syarikat pemula teknologi, mereka banyak tumpu pelaburan kepada tiga negara – hinggakan mereka ada ungkapan ‘VIP’ – Vietnam, Indonesia, Philippines. Jadi di mana Malaysia?” katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.

Azrul pada masa sama memuji usaha dan kesungguhan kerajaan melalui pelbagai dasar dalam memastikan tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir dalam arus teknologi semasa.

Katanya, sekiranya jurang teknologi digital dirapatkan terutama antara bandar dengan luar bandar, lebih besar manfaat yang bakal diraih oleh rakyat.

“Saya fikir kita perlu bangunkan kawasan satelit seperti di luar bandar supaya ia (pembangunan teknologi) tidak hanya tertumpu di ibu negara atau Lembah Klang semata-mata.

“Kita juga harus tumpukan pembangunan ekosistem digital di negeri-negeri yang lain supaya limpahannya dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada,” ujarnya.

Selain lokasi geografi yang ideal di tengah ASEAN, dengan akses kepada 600 juta pengguna, Malaysia juga mengendalikan tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor global.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, dengan memperkukuh infrastruktur, bakat, dan ekosistem teknologi, Malaysia boleh terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan menjadi pemain utama dalam ekonomi digital global.

Justeru, penglibatan Malaysia dalam Mobile World Congress 2025 di Barcelona awal Mac depan, berperanan penting bukan sahaja untuk meneroka peluang dalam mengukuhkan kedudukannya di peringkat global, malah mencari kerjasama terbaik bagi memacu industri teknologi bernilai tinggi.

Sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-di-trajektori-tepat-jadi-pusat-teknologi-serantau-mcca-509378?_ga=2.101188737.1464812356.1740018498-1788904685.1740018498