Aduan

KUNJUNGAN HORMAT MCCA KE YAYASAN NEGERI SEMBILAN DAN KERJASAMA LITERASI DIGITAL DI NEGERI SEMBILAN

Seremban, 15 Oktober 2024 – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Negeri Sembilan bagi membincangkan kerjasama dalam menjayakan program Literasi Digital (LitDigital) di seluruh Negeri Sembilan. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkasakan masyarakat melalui pendidikan digital yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Perbincangan yang diadakan bersama pihak Yayasan Negeri Sembilan telah menghasilkan persetujuan bersama untuk melaksanakan program ini, dengan sokongan penuh dari pihak Yayasan. Turut serta dalam sesi perbincangan adalah Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Negeri Sembilan, yang menyatakan komitmen mereka untuk turut serta dalam menjayakan program ini di sekolah-sekolah seluruh negeri.

Delegasi MCCA yang hadir termasuklah Presiden, En. Siraj Jalil; Timbalan Presiden, Ts. Azrul Zafri; Naib Presiden, Dato’ Ayu Puteh; Setiausaha Agung, En. Nurrizal; serta Ahli Jawatankuasa, Shafizan dan Asrul. Kehadiran ahli MGKK Negeri Sembilan telah memberi suntikan semangat kepada MCCA apabila program ini mendapat sambutan yang amat baik, khususnya dari kalangan guru-guru kaunseling di negeri tersebut.

Program LitDigital bukan sahaja akan dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh Negeri Sembilan, tetapi juga dalam kalangan komuniti setempat. Program ini akan melibatkan beberapa pihak utama, termasuk:

  1. Institusi Pendidikan
  2. Komuniti Setempat
  3. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
  4. Agensi Kerajaan Negeri
  5. Pihak Swasta

Objektif utama LitDigital adalah untuk memberikan pendedahan mengenai kepentingan keselamatan siber, literasi digital, serta penggunaan teknologi secara berhemah dalam era digital yang semakin mencabar. Kerjasama pelbagai pihak ini diharapkan dapat membawa manfaat besar kepada masyarakat Negeri Sembilan, khususnya dalam mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia siber yang lebih kompleks.

MCCA berharap agar program ini dapat diteruskan di negeri-negeri lain pada masa akan datang, dengan sokongan pihak-pihak berkepentingan yang sama-sama komited dalam meningkatkan tahap literasi digital negara.

#LiterasiDigital #MCCAMalaysia #YayasanNegeriSembilan #CyberAwareness