Aduan

Kod Tatalaku Jadi Garis Panduan, Elak Kandungan Disalah Guna – MCCA

15 November Kuala Lumpur: Pelaksanaan kod tatalaku pelesenan untuk penyedia media sosial yang beroperasi di negara ini adalah inisiatif baik bagi mengawal selia kandungan di platform terbabit.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, pengenalan kod tatalaku itu dapat memastikan penyedia platform media sosial memahami tanggungjawab mereka terhadap pengguna di Malaysia.

Katanya, kod tatalaku itu akan menjadi garis panduan bagi mereka dalam mengawal selia kandungan sekali gus memastikan ia tidak disalahgunakan untuk kegiatan jenayah seperti penipuan dalam talian, buli siber, dan eksploitasi kanak-kanak.

“Penyedia platform perlu menyesuaikan polisi dan prosedur mereka selaras dengan kod tatalaku ini yang mungkin memerlukan pelaburan tambahan dalam teknologi dan sumber manusia untuk pemantauan serta penguatkuasaan.

“Dengan pelaksanaan kod tatalaku ini, terdapat kemungkinan penyedia platform akan lebih berhati-hati dalam membenarkan kandungan tertentu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tujuan utama kod itu adalah untuk menghapuskan kandungan yang memudaratkan serta menyalahi undang-undang dan bukan untuk mengurangkan kebebasan bersuara atau kreativiti pengguna.

“Penyedia platform dijangka akan mengekalkan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial apabila kod itu dilaksanakan nanti.

“Bagi pengguna, kod tatalaku ini diharapkan dapat mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan terjamin.

“Pengguna juga akan lebih dilindungi daripada ancaman seperti penipuan dalam talian, buli siber, dan kandungan yang tidak sesuai,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga perlu lebih bertanggungjawab dalam interaksi mereka di media sosial dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menurutnya, bukan sahaja penyedia kandungan tetapi pengguna juga perlu menyedari bahawa tindakan mereka dipantau untuk memastikan keselamatan semua pihak.

“Perlaksanaan kod tatalaku ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam memastikan ekosistem digital yang selamat dan beretika.

“Ia juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan pengguna terhadap persekitaran digital negara.

“Namun, penting untuk memastikan bahawa pelaksanaan kod ini tidak menghalang inovasi dan perkembangan industri digital serta tidak menjejaskan kebebasan bersuara,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menerbitkan kod tatalaku pelesenan untuk penyedia media sosial yang beroperasi di Malaysia dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilapor berkata, semua pengendali perlu mendaftar kod tatalaku perlesenan perkhidmatan media sosial itu atau berhadapan tindakan perundangan.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1155342/kod-tatalaku-jadi-garis-panduan-elak-kandungan-disalah-guna-mcca