Kuala Lumpur: Kegiatan judi dalam talian yang kini memasuki Web3 menyebabkan aktiviti berkenaan sukar dikesan meskipun banyak laman sesawang serta kandungan perjudian di media sosial disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia Malaysia (MCMC).
Web3 adalah Internet generasi baharu yang menggunakan teknologi nyah pemusatan aplikasi seperti ‘blockchain’.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kewujudan laman sesawang perjudian bukan kaedah baharu dalam kegiatan judi dalam talian.
“Ketika ini, kegiatan itu sudah memasuki Web3 dengan operasinya dijalankan dalam platform seperti Telegram dan Twitter (yang kini dikenali sebagai X).
“Malah, pembayaran modal judi juga sudah berubah dengan penggunaan mata wang kripto sekali gus menjadikan proses judi dalam talian lebih kompleks,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Siraj berkata, terdapat juga perjudian yang menggunakan aplikasi tertutup dalam bentuk fail ‘andriod package kit’ (APK) yang boleh dimuat turun di aplikasi Telegram.
“Situasi ini menyebabkan aktiviti judi dalam talian beroperasi tanpa memerlukan laman sesawang.
“Masalah kewujudan kad sim serta akaun palsu turut menyebabkan isu judi dalam talian sukar dibanteras kerana sindiket di sebalik kegiatan itu sukar dikesan,” katanya.
Beliau berkata, pihak MCMC perlu memperluaskan jaringan kerjasama mereka dengan komuniti setempat yang juga ejen bergerak’ dalam masyarakat.
“Terdapat pihak tertentu yang dikesan mempromosikan kegiatan judi dalam talian dalam kalangan komuniti setempat termasuk di kawasan kampung.
“MCMC perlu memperluaskan kerjasama mereka dengan persatuan penduduk, rukun tetangga serta jemaah masjid atau surau,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu juga boleh diperluaskan kepada institusi agama dengan memberi tumpuan kesedaran kepada penjudi dalam usaha membanteras kegiatan terbabit.
“Dalam isu judi, pucuk pangkal masalah berkenaan terletak dalam diri penjudi itu sendiri kerana tiada ‘demand’ (permintaan), tiada ‘supply’ (bekalan).
“Selagi ada ‘demand’, selagi itu akan ada 1001 cara bagi penjudi melempiaskan nafsu mereka berjudi yang mendorong sindiket menyediakan pelbagai modus operandi untuk beroperasi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 5,026 laman judi disekat dengan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet manakala 224,403 kandungan perjudian di media sosial diturunkan bagi tempoh 2022 hingga Februari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 209,006 kandungan perjudian iaitu lebih 93 peratus diturunkan menerusi Facebook (FB).