Sumber Asal Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/01/929545/jadikan-jpdp-jabatan-berkanun-langkah-tepat-mcca
Kuala Lumpur: Langkah kerajaan untuk menjadikan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sebagai jabatan berkanun adalah langkah paling tepat dalam mendepani ancaman siber di negara ini.
Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, ia adalah langkah paling strategik untuk dilaksanakan sekali gus memberikan punca kuasa lebih besar kepada JPDP pada masa depan.
Bagi mendepani ancaman siber pada hari ini, menurutnya, perlu ada satu agensi yang khusus dalam melindungi data peribadi pengguna dan melaksanakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan.
“Saya berharap tidak ada pertindihan kuasa atau tindakan di antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM).
“Penyiasatan forensik CSM pula tidak bertindih dengan siasatan Digital Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada Harian Metro, sebentar tadi.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan bahawa kementeriannya sedang menyediakan draf pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dalam usaha mengekang kebocoran data pengguna diharap dapat dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.
Beliau dipetik berkata, ia turut merangkumi beberapa penelitian untuk menambahbaik perundangan sedia ada.
Fahmi berkata, pindaan akta itu juga akan meneliti pemakluman wajib syarikat pemegang atau pengguna data kepada JPDP sekiranya berlaku kebocoran.
Ahmad berkata, sebelum ini, Akta Perlindungan Data Peribadi di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Akta Komunikasi Multimedia dan Akta Jenayah Komputer di bawah PDRM.
Bagaimanapun, katanya, perundangan berkenaan terpisah-pisah dan ia menjadi lebih efektif dengan kewujudan Akta Keselamatan Siber kerana ia lebih menyeluruh.
“Sekiranya ada akta berkenaan, mungkin akan ada kewajipan untuk semua pengguna mempunyai anti virus dalam telefon atau suruhanjaya keselamatan siber yang boleh membantu soal pendidikan di sekolah.
“Saya turut mengharapkan bahawa kerajaan akan meneruskan inisiatif bagi mengurangkan jurang kelompongan perundangan membabitkan siber di negara ini,” katanya.