Aduan

‘Curi’ data peribadi ketika urusan pembelian, perkhidmatan

Kuala Lumpur: Sindiket yang mengambil maklumat atau data peribadi dikesan ‘mencurinya’ menerusi pendaftaran pelbagai urusan perniagaan dan perkhidmatan.

Ia bermula daripada orang ramai menyerahkan kad pengenalan untuk pendaftaran pelbagai urusan pembelian termasuk membeli kenderaan, menyewa rumah dan perkhidmatan lain, sehinggalah menjadi mangsa ‘scammer’.

Penolong Pesuruhjaya, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Dr Mohd Razip Jantan berkata, semua data berharga itu dikumpul secara tidak sedar dan masyarakat tidak tahu ke mana maklumat peribadi ini dibawa selepas pendaftaran dan pembelian sesuatu barangan dilakukan.

Katanya, modus operandi mudah itu digunakan pihak tertentu sejak beberapa tahun kebelakangan dan JPDP diberikan tanggungjawab untuk menguatkuasakan serta mengawal selia data pengguna siber di negara ini.

Menurutnya, ia termasuk transaksi komersil selain data penting yang perlu dilindungi dan pengguna perlu mengendalikannya sebaik mungkin.

“Bagi pihak yang menyimpan data, kalau tak ikut peraturan, akan dikenakan hukuman. Semua orang perlu tahu mengenai perlindungan data peribadi ini.

“JPDP mengendalikan data atau memperbetulkan data jika ada yang salah. Bila kita ada data peribadi, kita bertanggungjawab menyimpan data. Secara umumnya, yang simpan data ini terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya ketika menjadi panel Program IDB Talk: Keselamatan Digital, Ancaman Penggodam anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Panelis lain termasuklah Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil dan pelakon Datuk Fizz Fairuz.

Sementara itu Siraj berkata, setakat ini negara mencatatkan sejumlah 29 juta pengguna Internet di negara ini dengan kumpulan usia bawah 40 tahun direkodkan paling aktif menggunakan medium berkenaan.

Katanya, pengguna Internet hari ini seolah-olah bebas memuat naik komen, ulasan dan membuat kesimpulan ke atas sesuatu isu tanpa batasan sehingga menjejaskan emosi orang lain.

“Ada kes di dalam jenayah siber ini kita boleh ambil tindakan saman sivil. Contohnya mangsa buli siber boleh saman sehingga RM1 juta.

“Jadi berhati-hatilah dengan setiap hantaran. Sesiapa pun boleh terjebak tidak kira selebriti atau siapa.

“Internet patut menjadi platform mendidik masyarakat, dari situ kita bina masyarakat yang selari dengan tuntutan agama,” katanya.