Aduan

Celik Siber Bersama LitDigital di SMK Dato’ Hj Mohd Redza, Seremban

Pada 30 April 2025, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dengan kerjasama Yayasan Digital Malaysia, Yayasan Negeri Sembilan, Majlis Guru Kaunseling Negeri Sembilan (MGKK), dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan telah menganjurkan program LitDigital di SMK Dato’ Hj Mohd Redza, Seremban, menjadikan ia adalah lokasi ke tiga (3) program ini.

Program ini disambut meriah oleh para pelajar dan guru, dan berlangsung dalam suasana penuh interaksi serta kesedaran terhadap realiti dunia digital yang semakin mencabar, terutama bagi golongan remaja.

Sesi taklimat utama disampaikan oleh fasilitator MCCA, En. Rahmat Al-Aziz, dengan pendekatan yang santai, berfakta dan mudah difahami. Antara topik utama yang disentuh termasuk:

  • Literasi digital dan peranan pelajar dalam ekosistem siber
  • Etika berkomunikasi dalam talian (Netiket)
  • Bahaya berita palsu dan cara pengesahan maklumat
  • Ancaman seperti ‘grooming’ dan ‘doxxing’
  • Risiko berkongsi maklumat peribadi tanpa kawalan
  • Simulasi penyamaran identiti atas talian
  • Kuiz interaktif “Selamat atau Tidak?”

Salah satu tarikan utama program ini adalah sesi demonstrasi langsung (live) berkenaan panggilan penipuan (phishing call) yang dijalankan secara realistik bagi memberi gambaran sebenar kepada pelajar mengenai taktik licik yang sering digunakan oleh scammer untuk memanipulasi mangsa.

Turut menyerikan program ialah kehadiran wakil dari Yayasan Digital Malaysia, En. Ahmad Faizal Zulkipli, yang menyampaikan mesej penting tentang keselamatan digital serta galakan kepada pelajar untuk menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.

Menariknya, program kali ini turut menampilkan alumni sekolah tersebut, En. Aqmal Zainal, yang kini merupakan Director of Finance di R.E. ROGERS (M) SDN. BHD. Beliau berkongsi kata-kata motivasi dan pengalaman sebagai bekas pelajar, sekali gus membakar semangat generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam dunia nyata dan maya.

MCCA percaya bahawa kolaborasi rentas agensi seperti ini adalah kunci utama dalam memperkukuhkan kesedaran siber di peringkat sekolah. Program seperti LitDigital adalah satu pelaburan jangka panjang untuk memastikan para pelajar kita tidak sekadar celik teknologi, tetapi juga bijak menggunakannya secara selamat dan beretika.