Aduan

Ancaman judi dalam talian: Cabaran dan penyelesaian

PERNAH melalui zaman gelap apabila terjebak dengan ketagihan judi dalam talian, Farizal (bukan nama sebenar) mengakui tidak menyangka hidupnya hancur akibat perkara itu.

Bermula secara suka-suka dengan permainan judi di Internet, akhirnya Farizal terjerat ke kancah hutang yang tidak terkawal.

Ketagihan kakitangan swasta itu semakin parah sehingga dia sanggup membuat pinjaman Ah Long untuk terus berjudi, dengan harapan dapat menebus semula kerugian yang dialaminya.

Ketagihan terhadap judi dalam talian boleh menyebabkan pelaku terjebak dalam kancah hutang dan jenayah.

Namun, realitinya lebih kejam. Hutang semakin menimbun, tekanan hidup semakin mencengkam sehingga rumahtangganya hampir musnah.

Di saat dia terperangkap dalam kegelapan, keluarganya tampil memberi sokongan dengan membantunya melangsaikan hutang Ah Long dan mendapatkan bantuan-bantuan yang diperlukan.

Kini, hidup Farizal kembali normal menjalani kehidupan dan sentiasa bersederhana dalam urusan kewangannya.

Kisah Farizal itu mungkin hanya segelintir daripada ribuan kes yang dialami mangsa atau kaki-kaki judi yang ada di negara kita.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, judi dalam talian kini menjadi ancaman besar di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil

eliau menegaskan bahawa selain merugikan pendapatan rakyat, aktiviti itu juga tidak memberikan hasil kepada kerajaan kerana aliran kewangan dalam industri tersebut berada di luar sistem ekonomi yang sah.

“Malah kesan judi dalam talian bukan sekadar masalah ekonomi tetapi juga melibatkan institusi keluarga dan sosial.

“Kita lihat bagaimana ketagihan judi mampu meruntuhkan rumah tangga, menyebabkan individu berhutang dan akhirnya mendorong kepada perlakuan jenayah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Tambah Siraj, di Malaysia, tiada satu pun platform judi dalam talian yang sah di bawah Akta Perjudian Rumah Terbuka yang dikawal selia oleh Kementerian Kewangan.

Meskipun pihak berkuasa berjaya menumpaskan pelbagai sindiket judi dalam talian, namun ia tetap berkembang.

“Perjudian dalam talian beroperasi di luar kawalan undang-undang negara menjadikannya satu bentuk jenayah siber yang sukar dikesan.

“Masalah utama ialah kita tidak dapat mengenal pasti siapa yang mengendalikannya kerana mereka tidak berdaftar secara rasmi.

“Ini menyebabkan pengguna menanggung risiko sepenuhnya, sementara platform judi boleh melarikan diri tanpa dikenakan tindakan,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, ketagihan terhadap judi dalam talian semakin membimbangkan terutama dengan wujudnya pelbagai kaedah pemasaran agresif di media sosial seperti Telegram, X, Facebook dan Instagram.

“Lebih merisaukan, iklan judi ini boleh mensasarkan mangsa dengan menggunakan elemen budaya dan norma yang dekat dengan mereka.

“Antara yang paling kritikal ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan iklan yang lebih menarik.

Teknologi AI boleh disalah guna oleh penyedia platform judi dalam talian melalui iklan dan promosi palsu untuk menarik minat orang menyertainya.

“Mereka boleh menyunting video seseorang dan membuat lip-sync untuk mempromosikan perjudian dalam apa bentuk sekalipun,” jelas Siraj lebih lanjut.

Beliau juga berkongsi bahawa aktiviti judi dalam talian terus berevolusi mengikut perkembangan teknologi.

“Laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan ribuan akses ke laman judi dalam talian telah disekat.

“Namun, pengusaha judi tetap berinovasi dengan menggunakan aplikasi dalam platform seperti Telegram untuk meneruskan operasi mereka,” tegasnya.

Poster menunjukkan statistik jenayah dalam talian termasuk judi yang didedahkan MCMC.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil sebagai usaha untuk membanteras judi dalam talian.

“Kerajaan perlu meningkatkan kempen kesedaran tentang kesan judi dalam talian terhadap individu, keluarga dan masyarakat.

“Pendidikan literasi digital juga harus diperkenalkan dalam sistem pendidikan bagi mendidik pelajar mengenai bahaya judi dalam talian.

“Di samping itu, ketagihan judi tidak boleh dianggap sebagai jenayah semata-mata, tetapi perlu dilihat sebagai satu ketagihan yang memerlukan rawatan dan sokongan.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) contohnya perlu memainkan peranan dalam menyediakan pusat kaunseling bagi membantu golongan yang ketagihan judi,” katanya.

Golongan kaki judi perlu dibantu agar dapat menghilangkan ketagihan berjudi melalui sesi kaunseling dan sebagainya.

Malah, beliau menegaskan akta sedia ada juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membanteras sindiket judi dalam talian.

“MCMC dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan platform media sosial untuk menyekat iklan dan operasi judi dalam talian dengan lebih berkesan.

“Tidak terkecuali, masyarakat harus lebih cakna dan proaktif dalam melaporkan aktiviti judi dalam talian kepada pihak berkuasa.

“Manakala, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat boleh memainkan peranan dalam mendidik masyarakat serta membantu membentuk dasar yang lebih efektif dalam menangani isu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siraj turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan pasukan penyelidik bagi mengkaji aliran kewangan yang terlibat dalam judi dalam talian, seperti yang dilakukan di Indonesia.

Negara jiran, Indonesia giat membanteras judi dalam talian secara besar-besaran.

“Ini penting untuk memahami sejauh mana rakyat Malaysia mengalami kerugian akibat aktiviti ini dan bagaimana ia memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Tanpa data yang jelas, kita tidak dapat melihat gambaran sebenar masalah ini. Kita hanya tahu judi dalam talian wujud dan memberi kesan negatif, tetapi tidak tahu berapa besar jumlah wang yang rakyat kita telah rugi,” katanya.

Beliau juga mengakui, memerangi judi dalam talian bukanlah tugas yang mudah kerana kerana penyedia perkhidmatannya mungkin beroperasi secara rentas sempadan.

Namun, beliau percaya Malaysia mempunyai kuasa untuk menyekat promosi dan penyebaran aktiviti berkenaan melalui langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat.

“Peranan semua pihak iaitu kerajaan, NGO, pengguna dan institusi pendidikan amat penting dalam menangani ancaman ini.

“Hanya dengan usaha kolektif, kita dapat mengurangkan permintaan terhadap judi dalam talian dan sekali gus
melemahkan industri haram ini.

“Jika masyarakat lebih berwaspada, melaporkan aktiviti mencurigakan dan kerajaan menggubal dasar lebih tegas, kita boleh meminimumkan impak judi dalam talian terhadap rakyat dan negara,” tegasnya menutup bicara.

Sumber : https://malaysiatribune.news/2025/02/18/ancaman-judi-dalam-talian-cabaran-dan-penyelesaian/