Aduan

Positifnya Integrasi Teknologi

GELOMBANG integrasi teknologi daripada kamera analitik berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan dron pemeriksaan udara.

Evolusi itu terus berkembang kepada peranti boleh pakai (wearables), penderiaan Internet Kebendaan (IoT) semakin mengukuhkan operasi kerja di tapak binaan sekali gus mungkin berupaya untuk mengurangkan risiko kemalangan di tempat binaan.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Azrul Zafri Azmi, berkata matlamatnya jelas iaitu mengurangkan risiko kemalangan, mempercepat keputusan di lapangan dan meleraikan kos akibat kelewatan serta kerja semula yang tidak sistematik.

“Di peringkat operasi, sistem kamera sedia ada melalui evolusi apabila ia ‘dipintarkan’ dengan AI untuk mengesan pelanggaran sebarang prosedur.

“Ini termasuk kerja di tempat tinggi tanpa perlindungan dan mampu untuk mengesan sebarang kemungkinan insiden yang berlaku.

“Data digabungkan dengan bacaan peranti boleh pakai yang memantau haba, keletihan dan postur serta penderiaan IoT yang merekod getaran, suhu dan kelembapan,” katanya.

Beliau berkata, teknologi berkenaan akan memberi evolusi menyeluruh terhadap landskap pembinaan dan penyelia binaan dapat menerima amaran masa nyata melalui aplikasi mudah alih dan tindakan pembetulan direkodkan, menjadikan audit lebih telus dan pantas.

Menurutnya, kesan positif paling ketara muncul pada keselamatan pekerjaan (OSH).

“Amaran masa nyata mengalihkan budaya ‘reaktif’ kepada ‘pencegahan,’ manakala analitik trend membolehkan kerja pembinaan dapat dilaksanakan secara sistematik.

“Dari sudut produktiviti, dron mempercepat pemeriksaan kawasan sukar capai, fotogrametri dan perbandingan tahap pembinaan.

“Integrasi data menghasilkan jejak audit automatik untuk pelaporan kepada pihak berkuasa, memudahkan pemantauan sekali gus mengurangkan risiko pelanggaran prosedur di tapak binaan,” katanya.

Katanya, tenaga kerja menerima limpahan manfaat apabila latihan digital dipadankan dengan alatan baharu.

“Penyelia barisan hadapan memperoleh gambaran menyeluruh tapak melalui papan pemuka mudah alih, manakala juruteknik menerima amaran keletihan atau tekanan haba kepada pekerja dengan tepat.

“Di sebalik manfaat integrasi teknologi ini, wujud ancaman terhadap maklumat serta data yang mungkin boleh dieksploitasi oleh pihak ketiga.

“Penggunaan penderiaan dan peranti boleh pakai menuntut pematuhan kepada perundangan kerahsiaan data pengguna untuk mengelakkan sebarang manipulasi maklumat,” katanya.

Beliau berkata, integrasi teknologi yang terancang bukan sekadar memasang alat mampu menjadikan tapak bina lebih selamat, cekap dan kompetitif.

Katanya, masa depan tapak pembinaan turut bergantung kepada keupayaan teknologi untuk memberikan ruang tapak bina yang lebih kondusif serta selamat.

“Ekosistem pembinaan juga semakin matang apabila menggunakan sistem bersepadu dan memerlukan syarikat pembinaan untuk memilih sistem operasi pintar di tapak binaan.

“Walaupun secara zahirnya, gerak kerja di tapak binaan lebih teratur, sudah tentu langkah mula ke arah penggunaan teknologi ini perlu pelaburan yang besar bagi perolehan aset pintar dan memerlukan bantuan tenaga profesional dalam bidang itu.

“Menggerakkan tapak bina pintar tidak hanya tertumpu kepada memasang perkakas atau peranti saja tetapi pelaksanaan yang menyeluruh supaya keupayaan teknologi dapat dioptimumkan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa langkah adaptasi teknologi untuk tapak binaan ini masih jauh lagi dan terdapat pelbagai ruang yang boleh ditambah baik khususnya berkaitan kedaulatan maklumat supaya tidak dimanipulasi pihak lain.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/itmetro/2025/09/1261796/elak-insiden-tidak-dijangka