Aduan

Jenayah terancang wujud selagi ada permintaan tinggi

KUALA LUMPUR – Kegiatan penipuan menawarkan perkhidmatan keluar masuk negara secara ‘pintu belakang’ merupakan satu bentuk jenayah terancang yang perlu dibanteras segera.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, sindiket tersebut bukan sahaja jelas mempergunakan nama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengaburi mata orang awam, malah mencemarkan agensi penguatkuasaan itu.

Beliau percaya, kegiatan ini bukan baru berlaku, malah berterusan kerana wujudnya permintaan tinggi terhadap penyelesaian ‘jalan pintas’ terutama dalam kalangan warga asing.

“Ini adalah satu bentuk scam yang semakin berani. Penjenayah mengambil kesempatan atas kesempitan dan kejahilan sesetengah individu dengan menawarkan perkhidmatan yang kelihatan sah, namun hakikatnya penuh tipu muslihat.

“Selagi ada permintaan terhadap urusan haram dan jalan belakang, selagi itulah sindiket ini akan terus mencari mangsa,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Siraj, antara faktor utama mangsa mudah terpedaya ialah penampilan iklan yang kelihatan meyakinkan, lengkap dengan jaminan proses yang kononnya pantas dan tanpa kerenah birokrasi.

“Mangsa takut membuat laporan kerana sedar mereka sendiri telah menggunakan jalan yang salah. Tapi kita kena jelas bahawa dalam situasi ini mereka tetap menjadi mangsa penipuan. Ini bukan sekadar urusan haram, tapi satu bentuk jenayah,” tegasnya.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menyasarkan kumpulan tertentu terutama warga asing dari Indonesia dan Bangladesh yang fasih berbahasa Melayu.

“Mereka tahu siapa sasaran yang mudah terpengaruh dengan tawaran pelik tapi menggoda,” katanya.

Siraj turut menegaskan bahawa mana-mana perkhidmatan rasmi tidak akan diiklankan secara terbuka di media sosial tanpa saluran pengesahan yang sah.

“Kalau ia betul-betul sah, takkan diiklankan seperti promosi jualan murah. Sama ada ia penipuan terang-terangan atau kegiatan haram yang diumpan untuk menjerat mangsa,” katanya.

Beliau sehubungan itu menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap iklan sedemikian, khususnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/737213?fbclid=IwY2xjawLbPH1leHRuA2FlbQIxMABicmlkETFnZkIwUGhqNkdoaFAwcFk1AR65o5K6i09VzwdMsZKk5tIGS4i7CsG5lUuSLvyqhu0N33rYB0NIYaEUjFgw8g_aem_kra_lHi27mdw77Qy8cuksg