Aduan

Pindaan Akta 588: Jamin Perlindungan dan Keselamatan Pengguna Internet

Pada 14 Disember 2024 yang lalu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), En. Siraj Jalil, telah ditemu ramah oleh wartawan TV3 bagi membincangkan isu penting berkaitan keselamatan pengguna internet di Malaysia. Temu ramah ini memberikan tumpuan kepada cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang dijangka memperkukuhkan perlindungan pengguna dalam era digital yang semakin mencabar.

Dalam wawancara tersebut, En. Siraj Jalil menekankan bahawa pindaan ini adalah langkah penting untuk menangani isu keselamatan siber, seperti serangan penggodam, penipuan dalam talian, dan penyalahgunaan data peribadi. Beliau juga menyeru kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat umum, untuk memastikan pelaksanaan undang-undang ini memberi manfaat sepenuhnya kepada pengguna.

“MCCA menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam meminda Akta 588 ini. Kami percaya langkah ini akan menjadi titik tolak kepada usaha meningkatkan kesedaran dan keselamatan pengguna siber di Malaysia,” ujar beliau.

Walaubagaimanapun, MCCA berharap undang-undang ini dapat mencapai objektif asalnya dan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh memberi kesan terhadap sistem demokrasi dan kebebasan bersuara.

Wawancara ini menegaskan komitmen MCCA dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pengguna siber, selaras dengan matlamat organisasi untuk mewujudkan persekitaran siber yang lebih selamat dan terjamin.

Untuk maklumat lanjut mengenai wawancara ini, anda boleh menonton link dibawah..