Melaka, 14 Disember 2024 – Multimedia University Law Society (MULS) telah menganjurkan “Legal Summit: Empowering Young Leaders 2024” di Dewan Utama, Kampus Multimedia University, Melaka. Acara ini bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan pelajar undang-undang serta meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu undang-undang yang berkaitan dengan belia, khususnya dalam menangani isu buli siber di Malaysia.
Acara ini turut menampilkan dua (2) panelis yang dihormati iaitu Puan Kokila Vaani Vadiveloo dan Encik Muhammad Sirajudin bin Jalil. Puan Kokila, yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Selangor, terkenal dengan advokasi isu-isu penting seperti kebajikan kanak-kanak dan kesihatan awam, mencerminkan dedikasi beliau dalam menyokong individu yang memerlukan. Sementara itu, Encik Siraj, yang kini menjawat jawatan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), dikenali atas minat dan kepakaran beliau dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber melalui pelbagai forum dan perbincangan.
Sesi Panel ini telah dimoderatorkan oleh Prof Madya Dr. Manique A. E. Cooray, seorang pensyarah undang-undang yang pakar dalam bidang undang-undang siber di Fakulti Undang-Undang, Multimedia University.
Encik Siraj Jalil, sebagai salah seorang panelis, telah berkongsi pandangan mendalam mengenai cabaran-cabaran perundangan dan keperluan mendidik masyarakat dalam menangani isu buli siber, terutamanya kesan buruknya kepada generasi muda di era digital ini. Sesi perbincangan ini turut menekankan kepentingan literasi digital sebagai langkah penting dalam mewujudkan persekitaran siber yang selamat. Encik Siraj menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh diperlukan untuk menangani buli siber, termasuk penggubalan polisi yang kukuh, penguatkuasaan undang-undang yang tegas, serta kesedaran awam yang lebih meluas.
Selain itu, acara ini turut menampilkan sesi soal jawab yang interaktif, di mana peserta berpeluang mengajukan soalan kepada panelis mengenai isu-isu semasa dalam landskap undang-undang siber di Malaysia. Sambutan hangat diterima daripada para peserta yang terdiri daripada pelajar undang-undang dari pelbagai universiti di seluruh negara.
Acara diteruskan dengan pertandingan persembahan kes oleh pelajar undang-undang, yang bertujuan untuk melatih pelajar dalam menggubal polisi melalui simulasi, sekaligus memupuk pemahaman mendalam terhadap cabaran menangani isu buli siber di Malaysia. Acara ini menjadi platform yang penting untuk memperkukuhkan jaringan antara pelajar dan pakar undang-undang, sambil memperkasa generasi pemimpin masa depan.
MCCA mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas penganjuran acara yang penuh bermakna ini. Dengan sokongan dan kerjasama yang berterusan, diharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan untuk memperkasakan belia dalam era digital.