PORT DICKSON, 15 November 2024 – Bertempat di Ancasa Resort, berlangsungnya Program Pemukiman Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Negeri Sembilan (MGKK) bersama Yayasan Negeri Sembilan (YNS). Program ini bertujuan untuk membincangkan pendekatan holistik dalam mengenal pasti peluang serta cabaran yang dihadapi oleh pelajar dan pihak berkepentingan dalam merancang serta membangunkan kerjaya anak negeri.
Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) turut dijemput sebagai salah satu panel brainstorming untuk memberikan idea dalam merangka program pembangunan kerjaya melalui inisiatif LitDigital (Literasi Digital) di peringkat sekolah-sekolah di Negeri Sembilan.
Program ini menekankan kepentingan kerjasama antara sektor pendidikan, industri, dan kerajaan negeri untuk memastikan pelajar-pelajar Negeri Sembilan mendapat akses kepada peluang yang seimbang, termasuk penguasaan literasi digital yang menjadi tunjang kepada pembangunan modal insan masa depan.
Program yang Dirancang
Beberapa program strategik telah dicadangkan untuk pelaksanaan bersama di peringkat sekolah-sekolah Negeri Sembilan, antaranya:
- LitDigital – Program literasi digital yang diketuai oleh MCCA untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi.
- Program Kepimpinan Madani – Membangunkan potensi pelajar dalam bidang kepimpinan.
- Kesihatan Mental Minda Sihat – Memberi fokus kepada kesihatan mental pelajar.
- Karnival Kerjaya – Menyediakan platform pelajar untuk mengenali peluang kerjaya yang pelbagai.
- Program Kaunselor Sekolah Agama – Sokongan khas kepada pelajar-pelajar sekolah agama.
Kolaborasi Pelbagai Agensi
Program ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi lain, antaranya:
- Yayasan Negeri Sembilan (YNS)
- Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK)
- Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS)
- Malaysia Productivity Corporation (MPC)
- Perkumpulan Mahasiswa/i Anak-Anak Negeri Sembilan (PEMANIS)
Penyertaan MCCA dalam program ini mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan literasi digital dan mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran yang relevan dalam menghadapi era digital. Inisiatif seperti LitDigital diharapkan mampu menjadi platform pendidikan yang efektif untuk melahirkan pelajar berdaya saing dan berkemahiran tinggi.
MCCA akan terus menyokong agenda pembangunan pendidikan di peringkat negeri dan kebangsaan melalui pelbagai program strategik demi memastikan kebaikan bersama untuk masyarakat dan negara.