Seremban, 15 Oktober 2024 – Selepas kunjungan hormat ke Yayasan Negeri Sembilan, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) meneruskan agenda di Negeri Sembilan dengan melakukan lawatan tidak rasmi ke pejabat Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (eSport) di Taman Sri Rahang, Seremban. Lawatan ini disambut mesra oleh Presiden Persatuan eSport Negeri Sembilan, En. Abdul Akif Rahim, yang menyatakan keterujaannya terhadap inisiatif yang dibawa oleh MCCA.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengadakan perbincangan awal berkenaan potensi kerjasama antara MCCA dan Persatuan eSport Negeri Sembilan dalam menjayakan program LitDigital di seluruh Negeri Sembilan. LitDigital, yang memfokuskan kepada literasi digital dalam kalangan masyarakat, dijangka memberi manfaat besar kepada pelbagai pihak termasuk komuniti sukan elektronik yang kian berkembang pesat di kalangan generasi muda.
Kerjasama ini bakal menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dan literasi digital dalam kalangan pemain eSport, terutamanya dalam penggunaan teknologi secara berhemah dan selamat. En. Abdul Akif Rahim menyambut baik idea ini dan menyatakan kesediaan Persatuan eSport Negeri Sembilan untuk turut serta dalam program LitDigital yang dianjurkan oleh MCCA.
Lawatan ini menunjukkan komitmen MCCA untuk memperluaskan capaian program LitDigital kepada komuniti yang lebih luas, bukan sahaja dalam kalangan institusi pendidikan dan komuniti setempat, tetapi juga ke dalam sektor-sektor lain seperti sukan elektronik. MCCA yakin bahawa kerjasama ini mampu memperkukuhkan lagi usaha memperkasakan literasi digital di Negeri Sembilan.
MCCA berharap agar usaha ini dapat memberi impak positif kepada semua yang terlibat, sekaligus mempersiapkan komuniti eSport dengan ilmu pengetahuan digital yang lebih mendalam dalam menghadapi cabaran dunia siber yang semakin mencabar.
#eSport #LiterasiDigital #MCCAMalaysia #NegeriSembilan #CyberAwareness