Aduan

Program “DeCyber” oleh MCCA di SK Seksyen 11 Kota Damansara Mendapat Sambutan Positif

Pada 30 September 2024 yang lalu, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) telah mengadakan satu program “DeCyber” iaitu taklimat ringkas berkaitan Kesedaran Buli Siber di Sekolah Kebangsaan Seksyen 11, Kota Damansara. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran murid-murid sekolah mengenai bahaya buli siber serta mendidik mereka mengenai cara-cara untuk mencegahnya.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh En. Rahmat Al Aziz, Exco Belia MCCA, yang menerangkan beberapa aspek penting mengenai buli siber. Antaranya ialah definisi buli siber, jenis-jenis buli yang sering berlaku di platform digital, dan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh murid-murid bagi melindungi diri mereka. Beliau juga menekankan kesan psikologi yang boleh dialami oleh mangsa buli siber serta cara melaporkan insiden buli kepada pihak berkuasa.

Program ini telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pihak guru di SK Seksyen 11, yang menyatakan bahawa taklimat tersebut amat relevan dengan situasi semasa, terutama dalam era digital yang semakin berkembang. Guru-guru juga menghargai usaha MCCA dalam berkongsi maklumat berguna yang dapat membantu mendidik murid-murid untuk lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial dan platform dalam talian.

Pihak MCCA amat berbesar hati dengan sambutan yang diberikan oleh pihak sekolah dan murid-murid. Program ini diharapkan dapat diteruskan di sekolah-sekolah lain di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat pengetahuan dan kesedaran yang diperlukan untuk menghadapi ancaman buli siber.

MCCA akan terus komited dalam mendidik masyarakat mengenai isu-isu keselamatan siber dan menjadi suara pengguna siber di Malaysia.